latihan guru prasekolah bagi tingkatkan kadar pendaftaran


KUALA LUMPUR - Latihan berkualiti adalah satu kemestian untuk golongan guru prasekolah bagi meningkatkan kadar pendaftaran murid di peringkat tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
"Buat masa ini, hanya 60 peratus kanak-kanak sahaja mengikuti kelas prasekolah sebelum memasuki Tahap Satu. Masalahnya ramai daripada mereka tidak dapat mengikuti kurikulum Tahap Satu kerana tidak melalui pembelajaran di prasekolah," katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Projek Permulaan (EPP) dan sembilan pembangunan baru Program Transformasi Ekonomi (ETP), di sini, hari Selasa.

Katanya adalah penting untuk melatih golongan guru bagi meningkatkan tahap pendidikan prasekolah supaya dapat membentuk sebuah masyarakat berpengetahuan.

"Kita tidak dapat capai Wawasan 2020 sekiranya kita tidak mempunyai asas yang kukuh dalam pendidikan," katanya.

Terdahulu itu, Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan dengan kerjasama beberapa kolej dan institusi tempatan akan menjalankan latihan perguruan prasekolah di 10 negeri.

Kerjasama itu membabitkan SEGI College, DiKA College, Taj International College, Institut Teknologi Info-Sains Mahir, MCS College, Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak, Kolej Uniti, Thames Technology, Iras Mewah dan Institute Megatech.

Najib berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk meningkatkan pendidikan prasekolah, memastikan kualiti standard tinggi bagi guru prasekolah serta meningkatkan kadar pendaftaran kanak-kanak untuk kelas prasekolah.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment